Monday, May 10, 2010

Kasi Panas Sikit



TASIK KENYIR: Perjalanan meredah banjir hujan selebat-lebatnya ketika menuju ke sini sama sekali tidak mematahkan semangat penulis dan Geng PJ Striker meneruskan ekspedisi memburu ikan yang menghuni di tasik ini, baru-baru ini. Sememangnya kami sengaja mencari waktu begini bagi merasai penangan ikan Kenyir yang dikatakan banyak ketika musim tengkujuh. Kami berjaya memancing banyak sebarau dan baung. Malah turut mengena ialah toman, belida dan seekor kelisa seberat 2 kilogram. Toman adalah sasaran utama peserta Boat On The Road yang dijadualkan pada 7 hingga 9 Mei ini.

Sejurus tiba ke destinasi kira-kira jam 4 petang, Kamal dan Rahiman terus memecut bot gentian kaca dengan enjin sangkut Yamaha 15 kuasa kuda meninggalkan rumah bot mencari lokasi terbaik. Sementara itu Haji Gani membuka tirai pertama acara pancingan dasar dari atas rumah bot dengan baung seberat kira-kira 250 gram.

Selalunya waktu baung galak makan ialah malam. Hanafiah, Rahiman dan Kamal yang pulang dari memancing di lokasi lain turut memperoleh 17 ekor baung selain sebarau yang tumpas selepas menyambar gewang Rapala Shad Rap SSR-9 12g Top Swim dan Deep Swim warna oren.

Pendek kata, pantang gewang jatuh ke air pasti bersambut dengan deburan air yang sungguh mengasyikkan akibat hentaman sebarau pelbagai saiz. Namun etika pemancing berwawasan serta bijak mesti diamalkan. Kami hanya mengambil sebarau yang sederhana. Anak sebarau dilepaskan semula.
Malam menjelang tiba dan waktu terbaik memancing baung. Aktiviti hanya boleh dilakukan di atas rumah bot bagi menjamin keselamatan, demikian arahan tekong bot Mustaffar atau lebih dikenali sebagai Pok Par yang arif mengenai tasik itu sejak 18 tahun lalu. Lazimnya, apabila memancing di atas rumah bot, maka juaranya ialah Pak Cho atau Haji Yusof Othman dengan baungnya.

Pagi hari kedua yang hening, tiba-tiba kecoh akibat kegembiraan Kamal kerana seekor kelisa seberat 1.5 kg terpedaya dengan lenggokan Rapalla Shad Rap SSR-9. Maklumlah beliau tidak menyangka kelisa membedal Rapalla warna orennya.

1 comment:

  1. salam. wawawah bravo cham..........panas gak hahahaha...........

    ReplyDelete